![]()
![]()
![]()
Filem 3D teknik generasi canggih yang diminati ramai sejak 18hb Dis.'09. Mulanya aku ingatkan cerita yang diorang habaq tu cerita kartun Avatar kat TV3 dan TV9 tuh. Rupa-rupanya ketinggalan aku Avatar sudah difilemkan dengan tayangan yang menarik ribuan peminat-peminat cerita kartun ni. Mungkin juga ada yang baru je suka-suka sejak tonton filem ni agaknya. Filem ni sudah hampir 4tahun proses penyiapan untuk ditayangkan. Lama jugak tuh. Tapi biasalah cerita-cerita yang menggunakan teknik-teknik CGI ni memang agak memakan masa.
Bila cerita tentang filem animasi 3D atau CGI ni, aku pasti akan teringat kat kumpulan KRU Group. Yalah KRU Group seperti kita tahu memang fokus dan bertumpu sekarang ni kearah filem-filem animasi canggih dan menggunakan teknik-teknik CGI dalam setiap filem baru yang ditayangkan. Sebagai contoh Cicak Man dan Antoo Fighter. Selain tu, group ni kerap kali bergabung dengan mana-mana company yang memerlukan bantuan untuk penghasilan filem yang menggunakan teknik CGI ni. Bguslah nampaknya industri perfileman kita maju setapak kehadapan untuk mempersiapkan diri kepada menghasilkan filem yang bermutu, epik, dan berkarya menggunakan digital canggih seperti CGI.
Ok lah, sebenarnya entri ni, cuma aku nak kongsikan review kat korang, bagi sesapa juga yang baru terdengar filem Avatar ni(termasuk aku). hahak. Ketinggalan setapak kebelakang..bawah ni review filem AVATAR dipetik dari akhbar Kosmo. Bacalah..
Selepas menjalankan produksi selama empat tahun, Avatar, sebuah karya sarat dengan kesan khas generasi baru menawarkan revolusi teknologi membuatkan ia menjadi sebuah naskhah hebat dan indah di layar perak.
Ia mengambil latar belakang tahun 2154 di mana manusia memasuki planet makhluk asing bernama Pandora untuk mendapatkan galian unobtainium yang berharga jutaan dolar sekilogram. Namun, pencerobohan itu tidaklah mudah kerana syarikat korporat yang membuat penerokaan ke Pandora itu perlu berunding dengan makhluk pribumi di situ.
Ini kerana galian unobtainium yang berharga itu lebih banyak terdapat di bawah sebuah pohon raksasa yang menjadi tempat tinggal puak asli bernama Na'vi.
Syarikat tersebut turut menjalankan kajian dan eksperimen diketuai Dr. Grace yang berjaya menghasilkan klon tubuh orang Na'vi melalui program yang dinamakan Avatar.
Ketika itu seorang bekas tentera laut yang lumpuh, Jake Sully mendapat peluang mengemudi Avatar selepas adik kembarnya yang merupakan salah seorang saintis di bawah Dr. Grace mati dalam satu kejadian jenayah di bumi.
Jake terpilih kerana Avatar adik kembarnya itu hanya boleh dihidupkan oleh individu yang mempunyai genetik yang sama.
Pada awalnya Jake hanya ditugaskan sebagai pembantu keselamatan dalam operasi di Pandora, sebelum dia tiba-tiba sesat dan hampir dibunuh seorang gadis Na'vi, Nyetiri.
Diterima dalam puak Na'vi, misi Jake kemudian ditukar untuk memujuk puak Na'vi. Mempunyai masa tiga bulan bagaimanapun Jake akhirnya bukan sahaja jatuh cinta dengan kehijauan Pandora yang indah tetapi juga terpaut hati dengan Nyetiri.
Selepas itu, Jake berjuang habis-habisan untuk mempertahankan hutan Pandora daripada ditarah syarikat korporat. Akhirnya dengan menjadi Turok Macto iaitu penunggang sejenis haiwan yang paling digeruni di Pandora, Jake berjaya mengumpulkan ribuan orang Asli untuk berjuang mempertahankan planet itu.
Mencipta Pandora
Memandangkan Pandora menjadi lokasi utama filem ini, setiap benda atau manusia telah dilakar terlebih dahulu. Pandora bagi pengarahnya, James Cameron ialah Garden of Eden yang mempunyai 'gigi' dan 'kuku tajam'.
Pasukan pereka mengambil masa dua tahun untuk mereka cipta sebelum memulakan penggambaran filem. James telah memilih pereka kelas A untuk mencipta setiap watak, makhluk, tumbuh-tumbuhan, kostum, senjata, kenderaan serta yang utama persekitaran Pandora.
Mereka mencipta bukan satu budaya tetapi dua - koloni manusia yang berteknologi tinggi dan masyarakat Na'vi yang hidup dalam hutan. Seperti yang dilakukan ke atas Na'vi, Pandora dicipta dengan eksotik serta klasik.
"Kami tidak mahu manusia serta flora yang boleh didapati di muka bumi tetapi pada masa yang sama ia dekat dengan hati penonton. Pokok dengan ketinggian lebih 300 meter dan gunung yang seakan-akan terapung adalah antara rekaan ikonik menjangkaui pemikiran manusia biasa tetapi pada masa yang sama tidak terlalu asing," katanya James.
Menilai Avatar sememangnya ramai yang memuji kehebatan filem itu. Walaupun hakikatnya jika dibuang dunia Pandora dan digantikan dengan Bumi ia tidak lebih sekadar perjuangan orang Asli, orang kampung atau pencinta alam yang mahu menyelamatkan hutan. Namun imaginasi James menyebabkan Avatar berakhir dengan sebuah kisah luar biasa.
Filem itu mengambil durasi dua jam 43 minit, namun dalam satu bahagian di mana James memperkenalkan dunia Pandora, ia agak panjang dan mendatar membuatkan kita seperti sedang menonton sebuah dokumentari.
Mujur panorama Pandora begitu indah dan berjaya menyingkir sedikit rasa bosan. Hanya selepas timbul konflik dan peperangan puak Na'vi dengan tentera syarikat korporat, dinamik Avatar kembali memuncak.
Pujian seharusnya diberikan kepada pelakon Zoe Saldana yang memegang watak Nyetiri kerana berjaya mempamerkan pergerakan tubuh dan mimik muka yang sangat berkesan.
Tidak dapat lari daripada stereotaip bahawa kemenangan akan sentiasa berpihak kepada mereka yang ditindas dan baik, namun mesej hijau James menjadi satu lagi token menambahkan pujian buat Avatar.
Biarpun ada yang menyatakan 2012 adalah filem blockbuster wajib tonton tahun ini, hakikatnya Avatar juga seharusnya berada dalam catatan diari hujung tahun anda.
Sudah ramai yang jatuh cinta dengan keindahan Avatar, bagaimana pula dengan anda?
- KOSMO!

















